Sang Saka Malaya : Hishamuddin Rais Dakwa PAS Sebaris Sosialis ?

Hishamuddin Rais dan Datuk A. Samad Said adalah dua watak yang masih hidup ketika berlakunya tragedi berdarah rusuhan kaum, 13 Mei 1969.

Hishamuddin Rais juga dikenali sebagai Isham ketika itu masih belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada tahun 1971 menyertai Kelab Sosialis (the Socialist Club), platform untuk jawatan Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pada tahun 1974 dan selepas itu melarikan diri ke luar negara tanpa menghabiskan pengajian kerana takut ditahan ISA.

Selama 20 tahun dalam buangan, pada tahun 1994, Isham kembali semula ke tanah air, sebaik sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Manakala A. Samad pula ketika itu adalah seorang penulis dan karyawan seangkatan dengan Dato’ Usman Awang (individu yang disebut Isham membantunya untuk melarikan diri) dan Ishak Haji Muhamad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako.

Hari ini, Isham dan A. Samad adalah Pengerusi Bersama BERSIH yang bermentorkan Dato’ Ambiga Sreenevasan, namun di belakangnya masih tersembunyi tangan-tangan hitam Anwar Ibrahim.
Pada malam sambutan ulangtahun Kemerdekaan ke-56 baru-baru ini, Isham dan A. Samad hadir dalam acara kibar bendera Sang Saka Malaya di Dataran Merdeka.

Bercerita kepada anak buahnya, Amin Iskandar (Black) yang menjadi pengarang berita di portal The Malaysian Insider, Isham berkata kibar bendera Sang Saka Malaya itu sebagai simbolik kembalinya era 1948 ketika golongan kiri menentang penjajah British.

Malah menurutnya pakatan pembangkang yang ada hari ini, PKR, DAP dan PAS mirip golongan kiri pada tahun 1948.

“Ini kerana suasana sejak 2008 pada hemat saya sebagai seorang pemerhati politik sama seperti suasana pada ketika PUTERA-AMCJA, maka Sang Saka dikibarkan,” katanya

PUTERA yang dirujuk Isham itu adalah Pusat Tenaga Rakyat yang bergabung dengan kumpulan bukan Melayu AMCJA (All-Malaya Council of Joint Action), ditubuhkan sekitar tahun 1947 untuk menentang kandungan Perjanjian Persekutuan 1948 bagi penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.

Isham berkata, PUTERA-AMCJA menolak Perjanjian Persekutuan 1948 kerana mereka sudah ada perlembagaan sendiri yang dinamakan “Perlembagaan Rakyat”.

“Apabila mereka melancarkan “Perlembagaan Rakyat”, mereka juga melancarkan Sang Saka sebagai bendera kepada Tanah Melayu merdeka. Bila saya cakap tentang Tanah Melayu merdeka itu Tanah Melayu merdeka bersama-sama Singapura.

“Salah satu clause fasa yang ada dalam “Perlembagaan Rakyat” yang saya anggap paling penting untuk saya ialah, ‘sesiapa sahaja yang menganggap Tanah Melayu ini sebagai tanah tumpah darahnya mereka akan ditakrif sebagai Melayu.’

“Ini adalah satu klausa yang radikal pada 1947. Iaitu kita menerima Cina, kita menerima India, kita menerima sesiapa saja. Kalau dia hendak duduk berpayung di Persekutuan Tanah Melayu ini maka dia akan dianggap Melayu, dianggap Malayan. Tapi konsep ini menakutkan penjajah British ketika itu,” katanya.

PAS Termasuk Pakatan PUTERA-AMCJA

Dari kata-kata Isham itu, ditegaskan “Perlembagaan Rakyat” tidak mengandungi hak-hak keistimewaan Melayu-Islam-Bumiputera dan mungkin juga tidak ada hak serta kedudukan Islam dan Raja-Raja Melayu sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan sekarang.

Jika benar kiasan pemerhati politik kiri yang kini menggunakan platform BERSIH, maka Isham telah memberi isyarat bahawa Pakatan Rakyat kini berjuang ke arah menubuhkan “Perlembagaan Rakyat” yang tidak lagi mengandungi hak keistimewaan Melayu-Bumiputera, kedudukan Islam dan Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan.

Ikut kiasan Isham, PUTERA sama dengan PKR dan DAP sama dengan AMCJA, tetapi bagaimana pula dengan kedudukan PAS yang ditubuhkan terkemudian pada tahun 1951?.

Namun, tidak boleh disangkal bacaan politik Isham itu, jika tidak masakan PAS sanggup bertuankan Isham dalam BERSIH.

Barangkali, Isham melihat PAS dari kaca mata Dr Burhanuddin al-Helmy yang sudah dilihat telah bergiat aktif dalam gerakan kiri-sosialis melalui Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) serta menjadi Presiden ke-2 PAS pada tahun 1956.

Juga salasilah awal PAS, Majlis Agama Tertinggi SeMalaya (MATA) dan Hizbul Muslimin juga pernah termasuk dalam inner circe PUTERA.

Apatah lagi bekas Setiausaha Agung PAS yang juga rakan karib Anwar, Datuk Kamaruddin Jaafar merupakan pemuja nombor wahid Burhanuddin Al Helmy.

Apakah ini bermaksud, Isham melalui pemerhatian politiknya sudah melihat PAS kini membuang secara perlahan-lahan imej ulama dan kembali ke era 50-an di bawah pimpinan Burhanuddin Al Helmy yang memperjuangkan Islam yang digauli bersama nasionalisme dan sosialisme.

Jika benar telahan Isham itu, bermakna usaha PAS membuang Presiden ke 3, Tan Sri Datuk Mohamad Asri Muda pada tahun 1982 kerana tuduhan ‘nasionalis Islam’ adalah tidak tepat.

Juga bermakna usaha PAS membina kepimpinan ulama sejak tahun 1983 di bawah Haji Yusof Rawa ‘termusnah’ pada tahun 2008 kerana Isham mendakwa Pas kini kembali semula ke era Burhanuddin Al Helmy.

Apatah lagi anak Haji Yusof Rawa sendiri, Mujahid juga kini lebih gemar menulis tentang ‘Menuju PAS Baru.’

PUTERA-AMCJA Simbolik Pakatan Rakyat ?

PUTERA-AMCJA ditubuhkan pada tahun 1947 merupakan Pakatan Rakyat yang menolak gagasan Persekutuan Tanah Melayu sebaliknya mencadangkan “Perlembagaan Rakyat” dan meletakkan konsep rakyat sebagai asas kepada Tanah Melayu merdeka.

bendera PKMM

PUTERA diketuai oleh Pak Sako terdiri daripada enam parti politik kiri iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) atau Parti Nasionalis Melayu (MNP) yang diketuai oleh Dr Burhanuddin Al Helmy; Angkatan Pemuda Insaf (API) yang diketuai oleh Ahmad Boestamam; Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang diketuai oleh Shamsiah Fakeh; Gerakan Angkatan Muda (GERAM) yang diketuai oleh Aziz Ishak dan Abdul Samad Ismail; Barisan Tani SeMalaya (BATAS) yang diketuai oleh Musa Ahmad, Majlis Agama Tertinggi SeMalaya (MATA) dan Hizbul Muslimin.

Manakala AMCJA pula diketuai Tan Chin Lock yang dianggotai oleh Malayan Democratic Union (MDU), Malayan Indian Congress (MIC), New Democratic Young Leauge (NDYL) Pan Malaya Federation Trade Union (PMFTU) dan lain-lain pertubuhan perniagaan China negeri-negeri Tanah Melayu.

Pengaruh Komunis juga turut menyusup dalam Pakatan itu melalui beberapa proksi parti,PKMM yang dianggotai Dr Burhanuddin diasaskan oleh oleh Ahmad Boestamam dengan kerjasama Mokhtaruddin Lasso, anggota parti Komunis Malaya (PKM).

Bendera parti Komunis Malaya (PKM)

“Parti Komunis Malaya telah menguasai Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 melalui tokoh-tokoh jawatankuasanya yang terdiri daripada Mokhtaruddin Lasso (Presiden), Arshad Ashaari (Bendahari), Rashid Maidin, Abdullah C.D. Parti Kebangsaan Melayu Malaya lebih cenderung bagi Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949.

“Terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 merupakan kekalahan kepada Parti Komunis Malaya kerana golongan ini telah diketepikan oleh British. Parti Komunis Malaya telah menukar strategi dan mula mencetuskan kegagasan melalui mogok dan rusuhan. Pihak British bertindak balas dengan mengharamkan pemimpin politik daripada mengetuai kesatuan pekerja, dengan itu melemahkan kedudukan Komunis Bintang Tiga,” lapor wikipedia PKM.

PKMM yang berjuang di atas semboyan ‘Suara Rakyat’ atau ‘Voice of the People‘ berusaha menyisih pengaruh Komunis apabila bergabung dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Dr Burhanuddin Helmi telah dilantik sebagai Presiden ke-2, diikuti dengan Pak Sako sebagai Presiden ke-3.

Bendera PSM

Boestamam pula menubuhkan Partai Rakyat Malaya (PRM) pada tahun 1955 dan pada 26 Ogos 1958, Boestamam dengan kerjasama Pak Sako menubuhkan Barisan Sosialis atau Socialist Front (SF) yang asalnya terdiri daripada dua parti, PRM pimpinan Boestamam dan Parti Buruh pimpinan Pak Sako.

PRM sekarang ini telah menyusup masuk ke dalam Parti Keadilan Nasional membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Manakala satu lagi parti serpihan PRM, Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dituduh oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai ‘komunis’ masih lagi berusaha menyertai Pakatan Rakyat.

Begitu juga AMCJA juga tidak terlepas daripada penyusupan Komunis.

Lai Teck (Loi Tak), bekas Setiausaha Agung PKM telah membiayai dan menyokong usaha untuk mewujudkan Malayan Democratic Union (MDU) yang menjadi anggota AMCJA.

Ching Peng kemudian dilantik sebagai Setiausaha Agung PKM menggantikan Lai Teck.

Wikipedia AMCJA menyebut cadangan membentuk gabungan dibuat pada 19 November 1946 dalam satu mesyuarat yang dihadiri Boestamam, Musa Ahmad dari PKMM, Liew Yit Fun dan Chai Pek Siang dari PKM serta Gerald de Cruz dari MDU.

Sebab itu blog lenggongvalley mendedahkan pada muka surat 199 memoir Chin Peng, beliau berkata, “AMCJA bukan sebenarnya satu kumpulan Komunis..(tetapi) ia sebaliknya tegas di bawah pengaruh kami (komunis).”

Leave a comment

Filed under Malaysia Baru

Leave a comment