Akhirnya Anwar Pilih JalanTelawi

Benar pendapat Ustaz Hazizi Abdul Rahman, Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA yang mengatakan pendokong-pendokong Islam Liberal Malaysia tidak akan mengaku mereka adalah penganut fahaman tersebut, namun melalui kenyataan, isyarat dan tindak balas individu tersebut, kecenderungan aliran ideologinya dapat dikenal pasti.

Menurutnya, pendokong-pendokong Islam Liberal menyuntik ideologi mereka secara halus, menggunakan dalil Al Quran dan Hadis yang ditafsirkan mengikut logik akal bertujuan untuk mengelirukan atau menjerat golongan muda supaya bersama-sama menganut fahaman mereka.

Pengkaji Islam Liberal, Dr Adian Husaini juga memberi pendapat yang sama tentang modus operandi pendokong Islam liberal di Indonesia.

Menurutnya, pendokong-pendokong Islam liberal Indonesia menggunakan bahasa indah, berbaur Islamis, tetapi dalam masa sama turut disuntik racun-racun liberalisme dan pluralisme.

Dedahnya lagi, pendokong-pendokong liberal suka berselindung di sebalik sosok tubuh tokoh-tokoh terkenal sebagai daya tarikan umum.

Hasmi Hashim

Semalam, 4 Disember, Anwar Ibrahim memilih artikel bertajuk ‘Kaum Muda dan Akal‘ tulisan Hasmi Hashim dari kumpulan JalanTelawi.com untuk disiarkan semula di laman rasminya, anwaribrahimblog.com bagi santapan minda pengikut dan pengunjung setia lamannya.

Siapa Hasmi Hashim ? “Lulusan Fakulti Seni Halus, UiTM Shah Alam (1994-98)..pernah aktif mendirikan kelompok penulis dan pemikir muda “Telawi”; bersama Institut Kajian Dasar (IKD), Pusat Graduan Timur Tengah (MEGC) dan Pusat Dialog Terbuka (ODC)..penulis lirik dengan nama pena Buddhi Hekayat dan hasil karyanya meliputi penyanyi ternama tanahair seperti lagu kumpulan Spider (‘Ajaib’) dan Hafiz AF ‘Awan Nano’.

Itulah serba sedikit biodata diri Hasmi Hashim yang dipetik dari hasmihashim2010.blogspot.com.

Blog hasmihashim2010 dibina pada tahun 2010 sempena dengan keputusannya bertanding Ketua AMK berslogankan ‘Team Pencerahan’ namun tewas, tetapi Hasmi masih mengekalkan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Parit Sulong.

Apa itu pemikir “Telawi” atau “Jalan Telawi’ yang didedikasikan pemikiran mereka melalui laman JalanTelawi.com (JT) ?

“JalanTelawi.com adalah salah satu dari projek Institut Kajian Dasar. IKD dengan kerjasama dari Konrad Adenauer Stiftung (KAS) melancarkan JalanTelawi.com pada tahun 2005. Laman web ini, yang merupakan buah fikiran Pengarah Eksekutif, Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar, bercita-cita untuk menjadi wadah persilangan yang meraikan tulisan-tulisan fiksi, non-fiksi dan karya kreatif lain demi meluaskan ufuk persuratan bahasa Melayu di dalam pelbagai rencam bidang pemikiran,” itu butiran yang dipetik dari jalantelawi.com

Turut disenaraikan penulis-penulis berfikrah JalanTelawi, antaranya, Anwar Ibrahim, Khalid Jaafar, Osman Bakar, Hasmi Hashim, Al-Mustaqeem Mahmod Radhi (MEGC), Fathi Aris Omar (Malaysiakini), Aqil Fithri (UmmahOnline), Mohd Jimadie Shah Othman (Malaysiakini), Nik Nazmi Nik Ahmad (SuaraAnum), Goenawan Mohamed (Utan Kayu, Indonesia), Luthfi Assyaukanie (Islib Indonesia) dan lain-lain.

JalanTelawi merujuk kepada satu jalan di Bangsar, Kuala Lumpur, di mana di situ, suatu ketika dahulu terletaknya badan pemikir Anwar yang dinamakan Institut Kajian Dasar (IKD). Di situlah tempat ‘anak muda’ berkumpul, berbengkel dan berseni sambil minum teh tarik.

Walaupun pusat operasi IKD telah berpindah ke Bukit Sentosa, Rawang, namun nama JalanTelawi masih dikekalkan.

Konsep pembentukan pemikir JalanTelawi menyamai dengan modus operandi Utan Kayu, Indonesia (kemudian dikenali sebagai Komuniti Salihara) di mana bermulanya tapak Jaringan Islam Liberal (JIL) pimpinan Ulil Abshar Abdalla.

Fathi Aris Omar dari Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT), cabang IKD pernah berguru selama setahun di Utan Kayu sebelum kembali bertugas dan dilantik sebagai Ketua Pengarang Malaysiakini.

Maka pemilihan artikel Hasmi Hashim oleh Anwar bukan kebetulan, tetapi itulah fikrahnya, lagipun penulis itu dilahir dari rahim IKD, badan pemikir Anwar yang menjalar ranting kepada JalanTelawi, MEGC, Malaysiakini dan berusaha berkembang biak dalam cabang-cabang PKR.

Kaum Muda dan Akal

Pemilihan tajuk “Kaum Muda dan Akal” cuba mengheret ke kancah polemik Kaum Tua dan Kaum Muda yang berlaku sekitar tahun 1900-an di mana Kaum Muda menuntut pintu ijtihad dibuka melalui akal, manakala ditentang oleh Kaum Tua yang berpegang teguh kepada Al Quran, Sunnah dan Ijma’ Ulama.

Malah kenyataan Nurul Izzah di gereja Tabernacle di Subang, 3 November cuba turut diseret ke kancah ini, walaupun ianya berlainan konteks.

Tetapi, berhati-hati dengan kesimpulan yang cuba dibuat penulis kerana pemakaian istilah ‘Kaum Muda’ sekadar topeng untuk mengelirukan pembaca.

Samakah Hasmi Hashim lulusan Seni Halus, UiTM Shah Alam atau Anwar Ibrahim lulusan Pengajian Melayu, Universiti Malaya dengan Syed Sheikh Al-Hadi, lulusan Al Azhar, Mesir ?

Itu dari sudut kelulusan, bagaimana pula dari sudut akhlak ?

Memang terdapat usaha keras pihak IKD, khususnya Khalid Jaafar cuba menjustifikasi perjuangan mereka berselindung di sebalik imej Muhamad Abduh (1849-1905) dan Rashid Rida (1865-1935), tetapi Dr. Idris bin Zakaria merungkai susur galur aliran itu lebih jauh lagi iaitu berpunca dari Eropah.

Menurutnya, aliran ini bersumberkan perpecahan gereja di Eropah dari zaman reformasi, renaissance yang kemudiannya pencerahannya dimainkan oleh tokoh-tokoh falsafah seperti John Locke (1632-1704), Immanuel Kant (1724-1804) hingga kepada John Hick dan Hans Kung.

Sekitar abad ke-16 aliran ini menyerap ke negara-negara Islam melalui proses penjajahan dan pembaratan.

Menurut Charles Kurzman, sekitar abad ke-18 ketika kerajaan Turki Uthmaniyah Dinasti Shafawi dan Dinasti Mughal (India) berada di ambang keruntuhan, aliran ini mula menular melalui Syah Waliyullah (India; 1703-1762), Rifa’ah Rafi’ al-Tahtawi (Mesir; 1801-1873), Sir Sayyid Ahmad Khan (India; 1817-1898), Syed Amir Ali (India; 1879-1928), Muhamad Abduh (Mesir; 1849-1905), Qasim Amin (Mesir; 1865-1908), Ali Abd. Raziq (Mesir; 1888-1966) dan generasi seterusnya.

Tetapi yang pasti, ‘Kaum Muda’ yang diwarisi JalanTelawi adalah ‘Kaum Muda’ ciptaan dan tajaan Barat pasca 11 September 2001.

Kaum Muda pasca 2001 dicipta Barat sangat ekstrim dalam ‘membuka pintu ijtihad’ dalam menerima tiga konsep bertentangan dengan Islam iaitu menerima LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual & Transgender), pluralisme agama dan kedaulatan Israel.

RAND Corporation

Dr Amirudin Wahab, Setiausaha Agung ISMA berkata selepas berlakunya Peristiwa 11 September 2001 atau 9/11, Amerika Syarikat (AS) mensasarkan ‘agenda pembebasan’ ke negara-negara Islam melalui topeng demokrasi.

Pelaksananya adalah badan pemikir AS, RAND Corpration yang melahirkan kader-kadernya dinamakan ‘Muslim Moderat’ (baca : Muslim Liberal/plural).

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, yang kini di Universiti Georgetown,” begitulah rakaman terima kasih daripada Rand Corporation (Rand Corp) kerana berjaya menerbitkan kerangka utama laporannya bertajuk “Membina Rangkaian Muslim Moderat” (Building Moderate Muslim Networks) pada tahun 2007.

Anwar Ibrahim menerima gelaran "Muslim Moderate of The Year Award 2005" daripada CSID ( Centre for Islam and Democracy), badan pemikir bertopeng Islam yang ditaja NED (National Endowment for Democracy) di Amerika Syarikat.

Nama Anwar Ibrahim dikelompokkan bersama dengan tokoh-tokoh Islam Liberal Indonesia, iaitu Ulil Abshar-Abdalla, dari Jaringan Islam Liberal (JIL) dan M Syafi’i Anwar, Pengarah Eksekutif Pusat Islam Antarabangsa & Pluralisme (ICIP).

Rand Corp mendefinisikan ‘Islam radikal’ dalam takrif yang salah, apabila turut memasukkan kumpulan fundamentalis, kumpulan yang berpegang teguh dengan Al Quran, Sunnah dan Ijma’ Ulama dalam takrifannya itu.

Malah niat jahat Rand Corp melahirkan Muslim Moderat semakin terserlah, apabila kader-kader itu dilahirkan bertujuan untuk ‘berperang’ dengan Muslim fundamentalis.

“Umat ​​Islam yang Moderat dan Liberal, walaupun merupakan umat majoriti dalam kebanyakan negara Islam, tetapi mereka tidak dicipta menjadi satu rangkaian yang sama. Pembentukan rangkaian Moderat dan institusi Islam akan menyediakan platform untuk menguatkan mesej mereka dan mampu melindungi daripada keganasan dan ugutan daripada kumpulan Fundamentalis.

“Moderat, bagaimanapun, tidak mempunyai kekuatan sumber untuk mewujudkan rangkaian sendiri, mereka memerlukan pemangkin dari luar. Dengan pengalaman yang luas sejak dari usaha Amerika Syarikat semasa Perang Dingin untuk memupuk rangkaian yang komited dengan idea-idea yang bebas dan demokratik, maka AS mempunyai peranan penting untuk dimainkan untuk membantu kumpulan Moderat.

“Apa yang diperlukan pada peringkat ini adalah mendapatkan pengajaran daripada pengalaman Perang Dingin, dalam menentukan kesesuaian dengan keadaan dunia Islam hari ini, dan membangunkan “peta jalan” untuk pembinaan rangkaian Islam Moderat dan Liberal,” lapor Rand Corp.

Rand Corp turut meletakkan ciri utama Muslim Moderat/Liberal adalah berpaksikan perjuangan demokrasi/kebebasan yang ditaja oleh yayasan-yayasan AS dan sekutunya.

“Secara terbuka dan tertutup AS menekankan tentang kepentingan mengamalkan equaliti demokratik liberal, tolenransi, pluralisme, kedaulatan undang-undang, menghormati hak-hak asasi manusia dan masyarakat sivil.

“Di samping itu, Jabatan Negara AS dan USAID (U.S. Agency for International Development) telah diberi mandat khusus untuk mempromosi demokrasi. Untuk menterjemahkan matlamat itu, Jabatan Negara dan USAID telah mengikat kontrak dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO), khususnya NED (the National Endowment for Democracy), IRI (the International Republican Institute), NDI (the National Democratic Institute), Asia Foundation, dan CSID (the Center for the Study of Islam and Democracy). NGO-NGO ini merupakan badan-badan bukan keuntungan yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan AS,” lapor Rand Corp.

“Sapere Aude”

Hasmi Hashim dalam kupasan ‘Kaum Muda dan Akal’ membuat kesimpulan kerajaan negeri pimpinan Pakatan di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan dalam satu kelompok yang sama iaitu dinamakan sebagai “Kerajaan Reformasi”.

Walaupun kerajaan PAS Kelantan sudah wujud sejak 22 tahun lalu, namun kerajaan yang pernah mewar-warkan mahu melaksanakan hukum hudud itu juga turut direformasikan setaraf dengan kerajaan DAP, Pulau Pinang yang baru muncul 5 tahun lalu.

Hasmi juga turut menyeret nama Syed Sheikh Al-Hadi sepadan dengan tokoh falsafah Jerman, Immanual Kant.

“Seruan itu tentu sahaja pada ketika ini bagi sesiapa yang pernah membaca makalah ringkas filasuf Jerman, Immanual Kant (1724-1804), “Was ist Aufklärung?” akan tahu sejajaran pandangan Kant dengan Syed Sheikh. Tulis Kant bahawa ketidakmatangan seseorang manusia bukanlah disebabkan kurangnya kefahaman, tetapi kurangnya azam untuk menggunakannya (kefahaman itu) tanpa panduan orang lain.

“Seruannya adalah “Sapere Aude” demi beranilah menggunakan kefahaman sendiri.[6] Ya! Kant tidak hanya terhenti di situ. Dia di dalam karangan sama segera memashyurkan bahawa “zaman ini,” kata Kant, “iaitu abad Friederich, adalah Zaman Pencerahan,” dakwanya.

Ustaz Ismail Mina dalam bukunya, “Pluralisme Agama : Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah” mendedahkan istilah “Sapere Aude” adalah mainan minda Anwar.

“Lebih dua dekad lalu saya cuba hayati semangat sapere aude…” kata Anwar Ibrahim pada 3hb Februari 2008 di blognya.

Apa dia sapere aude ? Sapere aude adalah bahasa Latin yang bermakna, beranilah menggunakan akal dan kefahaman sendiri.

Slogan ini disebut oleh Kant (dan lain-lain seperti Nasr) dalam tulisannya, Was ist Aufklarung? (Apa Itu Pencerahan?).

Menghurai lanjut Kant berkata: … berupaya ataupun dapat meletakkan diri ke dalam suatu kedudukan untuk menggunakan kefahaman sendiri dengan yakin dalam hal-ehwal agama tanpa panduan orang lain…

Kata Ismail, Khalid Jaafar dalam kata pengantar bukunya menulis:…membebaskan tenaga pikiran manusia…; penggunaan akal sebagai alat untuk menyoal siasat sistem politik…dan juga amalam beragama.

“Inilah premis pemikiran Anwar Ibrahim dan IKD iaitu berani membebaskan akal dan otoriti agama Islam dan menggunakannya dengan kefahaman sendiri!

“Golongan Pluralis Melayu Malaysia bersifat hipokrit dan tidak berpegang kepada slogan mereka sendiri. Di satu sisi, mereka menolak otoriti dalam Islam kerana mahu bebas berfikir dan berpendirian.

“Tetapi dalam masa sama, mereka terpenjara dalam fahaman syirik orang bukan Islam seperti Hick dan Dante dan mendapat panduan dari mereka. Merekalah sebenarnya yang tidak bebas berfikir. Afala ta’qiluun?,”katanya.

Terbongkar di LSE 2010

Penerbitan buku Ismail Mina sebagai susulan daripada ucapan Anwar Ibrahim di di London School of Economics (LSE) pada 18 Mac 2010 bertajuk “Religion and Pluralism in a Divided World” (Agama dan Pluralisme Antara Dua Dunia).

“Saya langsung tidak menyangka hal itu kerana semasa kita di universiti, kita sudah mengenali Nurcholish Madjid.

“Dan semua orang tahu, Nurcholish Madjid. Datuk Seri Anwar pun tahu pemikirannya. Di mana Nurcholish Madjid pada awal tahun 1970-an sudah menolak Islam sebagai satu sistem politik.

“Datuk Seri Anwar, setakat yang saya tahu, dia faham benda itu. Jadi, saya tidak sangka sampai satu peringkat, fahaman beliau juga sudah selari dengan Nurcholish Madjid,” luah Ismail Mina ketika diwawancara dari hati ke hati pada 16 September 2011.

John Sidel, professor yang menjemput dan pengerusi majlis ucapan Anwar di LSE itu melihat sosok dan pemikiran Anwar mutakhir ini, saling tidak tumpah seperti Nurcholish Madjid, bapa Pluralisme Agama dan Islam Liberal Indonesia.

“Dari pertengahan tahun 1990-an di Indonesia dan Malaysia, bangkitnya pemikir intelektual Islam seperti Anwar Ibrahim dan Nurcholish Madjid yang menawarkan satu janji politik Islam modernis iaitu kombinasi gabungan di antara teknologi moden dan demokrasi dengan prinsip moral kepercayaan.

“Idea-idea liberal mereka menjadi ancaman kepada kepentingan kumpulan oligarki dan tidak demokratik dan mereka cuba dihapuskan – sebahagiannya melalui proses penentangan seperti kes Indonesia dan lebih kuno di Malaysia, apabila Anwar Ibrahim ditangkap dan dipenjarakan,” rumus John Sidel dalam rencananya bertajuk
The Islamic Threat in Southeast Asia: A Reassessment.”

Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Felo Amat Utama, International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) ketika meneliti kertas kerja Anwar di LSE itu merumuskan seperti berikut:

“Sayu tidak terkira hati kita mengingatkan bahawa asalnya tokoh dakwah Islam yang berfikiran kebangsaan, menjadi aktivis dakwah, penerajunya, gerakan Islam (dengan pemikiran dipengaruhi Maududi, Hassan al-Banna, Syed Qutb dan yang sepertinya), akhirnya menjadi pendokong aliran John Hick dengan aliran pluralisme agama dengan implikasi-implikasi rohaniah terakhirnya. Allahumma sallimna wa’I-Muslimin. Amin,” begitulah mukadimmah Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady dalam kertas kerjanya bertajuk “Pluralisme Agama Dan Anwar: Beberapa Persoalan Dilihat Dari Pandangan Arus Perdana Islam

Meletup pada tahun 2011

Tunas ideologi liberal/plural mula ditentang oleh bekas-bekas sahabat lama Anwar sendiri, termasuk Ismail Mina, Dr Yusri, Dr Sidek Baba dan lain-lain.

Ia mula meletup kepada pengetahuan umum selepas pertemuan tertutup Anwar dan penentangnya di rumah Prof. Osman Bakar, 2 Januari 2011.

Peranan IKD, Khalid Jaafar dan modus operandinya turut dipersoal.

Yusri, bekas Presiden ABIM mengkritik sikap ‘lepas tangan’ Anwar yang dilihat cuba memisahkan dirinya dengan badan pemikirnya sendiri.

“Bab buku Islam pluralisme, dalam ni ada artikel John Hick. Asghaar Ali Engineer. Berapa banyak lagi buku-buku…” Yusri, lalu dicelah Anwar, “Itu (kena) serang Khalid Jaafar, jangan campur (dengan) saya. Kena rujuk (kepada) Khalid, buat apa kaitkan (dengan) saya kalau Khalid (yang) buat”.

“Takkan Datuk Seri nak dakwa yang Datuk Seri tak tahu segala benda-benda ini, segala benda yang Khalid Jaafar (buat),” bidas Yusri.

Ismail Mina turut mencelah, “Khalid Jaafar ‘mati’ jika tidak ada Datuk Seri Anwar Ibrahim. IKD (juga) ‘mati’ jika (tidak ada Datuk Seri Anwar Ibrahim)”.

Katanya semua itu bergantung kepada polisi yang diputuskan Anwar, jika beliau melarang penerbitan buku-buku seumpama itu maka perkara itu tidak akan berlaku.

“Jadi polisi IKD (perlu ditentukan Anwar)…Aku tak mahu buku kontroversi dan seumpamanya..Ini soalnya, soal polisi, good governence.

“Masalah utama, buku-buku yang Khalid Jaafar terbitkan..yang dibiayai oleh KAF (Konrad Adenauer Foundation),” tegasnya.

Buku yang diperdebatkan itu bertajuk “Islam dan Pluralisme” yang ditulis oleh penulis IKD, Al Mustaqeem Mahmood Radhi dan diterbitkan oleh MEGC (Middle Eastern Graduate Centre).

Selain itu, IKD dan sekutunya MEGC dikritik kerana menerbitkan buku “Islam dan Dasar Pemerintahan”, ‘Agama dan Kebebasan Berfikir’, ‘Hukum Barat Pun Islam’ dan ‘Kahwin Campur Antara Islam dan Bukan Islam’, ‘Bercakap Atas Nama Tuhan’, ‘Islam Tunduk Menyerah’, ‘Demokrasi Dalam Al Quran, Hadis & Tradisi’ dan lain-lain lagi

Leave a comment

Filed under Anwar & Islam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s