Dengan PAS, DAP & Tentera Kristian, Mampukah Anwar Jadikan Malaysia Negara Liberal ?

Mungkin ramai tidak perasan, PKR kini sudah hampir sinonim dengan polisi DAP, berteraskan Negara Sekular yakni sebuah Negara Liberal, Bebas dan Demokratik yang berpaksikan prinsip-prinsip hak asasi manusia, kesaksamaan, keadilan sosial dan ekonomi.

Mungkin juga kerana hala tuju politik baru PKR selepas pasca pembebasan Anwar 2004 itu, menyebabkan tokoh-tokoh pengasas awal seperti Dr Chandra, Lokman Noor Adam, Roslan Kassim, Ezam Mohd Nor, Zulkifli Noordin, Zahrain, Dr Halili (sekadar menyebut beberapa nama) terpaksa keluar parti.

Seperti kata Ezam, penghijrahan Anwar ke Amerika Syarikat (AS) pada 2005-2007 sebagai satu bukti permulaan hala tuju Ketua Umum PKR.

Malah, pada 14 April 2005, ketika Anwar balik bercuti dari AS dan berucap di Kelab Country Paradise, Taman Melawati, Kuala Lumpur, Ketua Umum PKR sudah membayangkan perubahan hala tuju PKR itu.

“Saya bukan orang pintar dan menganggap saya terlalu besar peranannya..Saya hanya pekerja kecil, kebetulan diberikan kesempatan dan kepercayaan, saya nak manfaatkannya.

“Saya sebutkan ini bukan untuk membanggakan diri..tetapi untuk menyatakan..kita pejuang kebebasan dan keadilan tidak harus merasa kecil..dunia yang berfikir tau siapa kita.

“Saya diiktiraf bukan kerana saya Anwar Ibrahim, kerana mereka tahu saya mendokong cita-cita yang saudara-saudari dokong bersama,”kata Anwar kepada para penyokongnya.

Tiada agenda Negara Islam

Pada 10 Mei 2005, Stephen Sackur dalam program HARDTalk interview bersama Anwar kehairanan bagaimana Anwar yang terkenal semasa usia mudanya sebagai ‘pejuang Islam’, boleh bertukar menjadi ‘pejuang liberal’ semasa usia tua, dan bagaimanakah parti liberal PKR boleh bekerjasama dengan parti Islam di Malaysia.

Anwar menjawab persoalan kerjasama dengan Parti Islam bukan merupakan suatu halangan, lagipun walaupun PAS, parti Islam, namun agenda Negara Islam bukan merupakan perjuangan bersama.

“Kenapa tidak, jika parti komited untuk reformasi media dan badan kehakiman bebas, demokratik, liberal.

“Setiap parti mempunyai hak untuk memilih apa yang mereka mahu. Tetapi dalam kontek demokrasi, agenda Negara Islam, perkara yang menimbulkan perbalahan (antara parti-parti pembangkang) tidak ada di situ,”katanya.

Kemudian, Anwar menghuraikan secara khusus tentang PAS dan agenda Negara Islam ketika berucap di depan kelompok Yahudi dan Jesuit di New York pada 1 Disember 2005.

Dalam program anjuran National Endowment for Democracy (NED) bertajuk “The Future of Muslim Democracy,” Anwar sekali lagi menegaskan walaupun PAS menyertai Pakatan Pembangkang, namun bukan bermakna mahu menobatkan agenda Negara Islam yang menjadi asas perjuangan parti itu.

Anwar turut mendakwa setiap Parti Islam yang menyertai proses demokrasi hari ini telah mengubah haluan perjuangan mereka daripada ‘teologi’ kepada ‘teologi-demokrasi’.

“Dalam pengalaman terhad saya dengan Parti Islam yang dikenali sebagai penyokong kuat undang-undang Islam, juga sebuah Negara Islam, sekarang Negara Islam bukan lagi agenda kami,” tegas Anwar.

Proksi-proksi Anwar dalam PAS

Satu persoalan yang menjadi tanda tanya, bagaimana Anwar boleh menjadi jurucakap bagi pihak PAS, sedangkan ketika itu dia hanya Ketua Umum PKR ?

Persoalan yang lebih besar, bagaimana Anwar boleh mengumumkan PAS akan membuang ‘slogan Negara Islam’ pada tahun 2005, walhal pengumuman rasmi dibuat oleh Presiden PAS pada tahun 2008 ketika menghadapi Pilihanraya Umum ke-12.

Di sinilah peranan sahabat karib Anwar, Kamaruddin Jaafar yang ketika adalah Setiausaha Agung PAS.

J. Victor Morais dalam bukunya bertajuk “Anwar Ibrahim Cekal dan Tabah,” 1984 menyebut Kamaruddin adalah pemegang ijazah Sarjana dari Universiti Kent di Coutenbury, England.

Sekitar tahun 1977, Kamaruddin menjadi pensyarah di Jabatan Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Direktori Ahli Dewan Rakyat 2004-2009, terbitan Kaedah Kota Management (M) Sdn. Bhd menyebut Kamaruddin melepas jawatan pensyarah UKM yang disandangnya selama 10 tahun untuk menerima tawaran sebagai Setiausaha Politik (SETPOL) kepada Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghaffar Baba, dari tahun 1986 hingga 1991.

Sudah diketahui umum ketika itu, walaupun jawatan rasmi Kamaruddin adalah SETPOL Ghaffar, namun kesetiaannya kepada Anwar.

Malah, ada desus-desus mengatakan pencalonan Kamaruddin dibuat oleh Anwar sebagai mata dan telinganya di pejabat Ghaffar.

Barangkali ini perbandingan yang paling sesuai untuk mengetahui peranan Kamaruddin semasa menjadi Setiausaha Agung PAS dengan SETPOL kepada Timbalan Presiden UMNO.

Malah, selepas Anwar menyertai UMNO pada tahun 1982, akhbar-akhbar tabloid politik sudah melaporkan ‘usaha Anwar memujuk Kamaruddin’ untuk mengetuai satu badan pemikir yang dinamakan Institut Kajian Dasar (IKD).

Meskipun, dana untuk menggerakkan IKD ditaja dari sumber kerajaan dan Yayasan Kristian, Jerman, KAF (Konrad Adeneur Foundation), namun matlamat penubuhan badan pemikir itu semata-mata untuk memperkasakan nama dan imej Anwar.

Kamaruddin menjadi kaya raya dan korporat segera semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan dan TPM.

Sebab itu, apabila Anwar dipecat pada 2 September 1998, Kamaruddin mengumumkan masuk PAS pada Julai 1999.

Pada Jun 2005, Kamaruddin dilantik menjadi Setiausaha Agung PAS dan jawatannya berkuatkuasa sehingga Jun 2009 sebelum diambil alih oleh Mustaffa Ali.

Penamatan kontrak Kamaruddin sebagai Setiausaha Agung PAS mungkin ada kaitan dengan gelombang kebangkitan ‘kumpulan Erdogan‘ yang diperkatakan dalam Mutamar Agung PAS 2009.

Blog anti-Husam yang ditubuh semata-mata untuk membendung pengaruh Erdogan dalam PAS menamakan Kamaruddin salah seorang daripada aktivisnya.

Selain Kamaruddin, turut dinamakan Husam Musa, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Dr. Hatta Ramli, Dr Zulkifli Ahmad, Salahudin Ayub, Mujahid Yusuf, Dr Siti Mariah Mahmud, Khalid Samad, Mahfuz Omar dan lain-lain.

Barangkali kemunculan kumpulan Islamis Demokrat yang menjadi virus kepada PAS masa kini adalah hasil kesinambungan kumpulan Erdogan semasa Kamaruddin menjadi Setiausaha Agung PAS.

Meskipun menyertai PAS, namun persoalan dana asing masih lagi berlegar di sekitar Kamaruddin dengan peranan di sebalik tabir dalam badan pemikir IDEAS.

Apatah lagi, buku Kamaruddin berjudul “Dr. Burhanuddin Al Helmy: Politik Melayu dan Islam,” memberi makna besar dalam kamus politik PAS masa kini.

Kembali ke era Malaysia 1957

Selain itu, dalam ucapan di New York 2005, Anwar juga membayangkan negara Malaysia kini telah terhakis nilai asas kebebasan berbanding dengan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

“Di negara saya, Malaysia, apabila kemerdekaan dicapai pada 1957, ia telah dinyatakan dalam Perisytiharan Kemerdekaan bahawa negara makmur yang baru diasaskan berasaskan prinsip keadilan dan kebebasan.

“Saya fikir, ringkasannya, hampir sama dengan Prinsip Jefferson (Thomas Jefferson, Bapa Kebebasan dan bekas Presiden AS).

“Malangnya prinsip keadilan dan kebebasan dilupakan dan asas peruntukan kebebasan yang termaktub dalam perlembagaan secara progresifnya telah dikompromikan dan dihakis oleh kumpulan pemerintah,”kata Anwar.

Barangkali kata-kata Anwar itu merujuk kepada gerak kerjanya selama 16 tahun berada dalam kerajaan yang menyokong dasar penerapan nilai-nilai Islam dalam kerajaan, polisi yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bak kata Profesor Dr Sidek Baba, dahulu menyokong Anwar sebab nampak seperti sahabat baiknya itu bekerja ke arah proses Islamisasi dalam kerajaan.

“Katakan semasa seorang rakan saya dulu (Anwar), dalam kerajaan, membantu kerajaan, ada kebaikan yang dia bawa. Bila dia jadi anggota kerajaan kabinet, yang dibawa adalah anggota pembangunan Bank Islam. Tidakkah itu baik? Yang baik saya sokong.

“Saya tidak rasa apologetik, rasa rendah diri untuk menyokong. Dibina UIA, Takaful contohnya, kita bantu,”katanya.

Barangkali kerana polisi Anwar sekarang yang mahu kembali semula kepada era 1957 itu, maka Dr Sidek juga terpaksa meninggalkannya.

Dr Sidek tidak keseorangan, barangkali Dr Yusri, Ustaz Ismail Mina, Ramli Musa, (sekadar menyebut beberapa nama) mempunyai alasan yang hampir sama.

Menariknya, hujah era 1957 Anwar senada dengan hujah mentor DAP, Lim Kit Siang dalam menjustifikasi Malaysia sebagai Negara Sekular.

Menurut Lim Kit Siang, Malaysia adalah sebuah negara sekular dengan mendakwa bersandarkan kenyataan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

Tunku Abdul Rahman adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama yang dianggap sebagai bapa kemerdekaan kerana hasil usahanya Malaysia telah mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1957.

Kunci DAP sokong Anwar

Berbeza dengan penyertaan Anwar dalam UMNO yang bersifat ‘menakluk’ dan membina sel-sel sendiri serta dalam PAS melalui proksi-proksi tertentu, namun strategi berbeza terhadap DAP.

Dengan DAP, Anwar berusaha mewujudkan persamaan dasar-demokrasi-liberal-yang menjadi tunjang kedua-dua parti tersebut.

Sebelum PRU ke-12, Anwar mengumumkan Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Model AEM yang bermatlamat ‘agihan semula kekayaan secara adil, seimbang dan sama rata’ tanpa perlu sebarang syarat atau kouta untuk hak istimewa Bumiputera merupakan kunci utama DAP sokong Anwar.

Malah, penentangan terhadap polisi hak keistimewaan Bumiputera dan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan teras utama perjuangan DAP sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 1966.

Menurut bekas penyelidik dan kolumnis portal Mkini dot com, Helen Ang, mutakhir ini, DAP hampir sama dengan PAS dari konteks menobatkan agama.

“Saya rasa kalau nak dibanding di antara DAP dengan PKR, DAP tu sama macam PAS lah.

“Dalam politik, sekarang ini DAP sanggup bertongakkan agama. Maksudnya, kalau PAS menjaja Islam, saya rasa DAP ini pula sanggup menjaja Kristian,” rumus Helen.

Anwar bersama tentera Kristian

Beberapa minggu sebelum PRU-12, Anwar dilaporkan Terence Netto berdiskusi bersama kira-kira 200 paderi dan aktivis Kristian di Petaling Jaya.

Program tertutup itu dinamakan “A Closed-Door Dialogue Session With
Datuk Seri Anwar Ibrahim on ISSUES RELATED TO RELIGIOUS FREEDOM
” yang diadakan pada 31 Januari 2008 di gereja ST. Francis Xavier, Jalan Gasing, Petaling Jaya, anjuran Christian Federation of Malaysia (CFM).

Terence Netto yang juga salah seorang peserta pertemuan tertutup itu melaporkan di kalangan paderi-paderi terdapat syak wasangka terhadap penglibatan Anwar semasa menyertai UMNO terutamanya dalam perlaksanaan dasar penerapan nilai-nilai Islam.

Namun, syak wasangka itu diredakan apabila Anwar dan Azizah datang secara sukarela menjadi tetamu jemputan Catholic Archbishop Murphy Pakiam semasa Majlis Rumah Terbuka Perayaan Christmas,di gereja Bukit Nanas pada 25 Disember 2008.

Dalam sesi dialog tertutup itu, Anwar yang ditemani Tian Chua dan Dr. Xavier Jeyakumar berkata bahawa pegangan Islamnya bukan merupakan satu halangan untuk membela sebuah negara Malaysia yang bebas dan demokratik serta berpegang teguh kepada Perlembagaan Merdeka.

Menurutnya, Perlembagaan Merdeka menjamin setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama menikmati hak mereka.

Anwar berkata pendirian PKR adalah jelas iaitu tidak menyokong pembentukan sebuah Negara Islam di mana menurutnya PKR menjadi pengimbang di antara kedua parti PAS dan DAP.

Dalam konteks kalimah Allah, Anwar berkata perkara itu sepatutnya dibenarkan kepada penganut Kristian memakainya kerana perkataan ‘Allah’ hanya istilah Bahasa Arab untuk Tuhan dalam ritual mereka.

Ditanya mengenai peranannya semasa kempen Islamisasi yang diperkenalkan oleh kerajaan ketika dia menjadi sebahagian daripada parti pemerintah di antara 1982 dan 1998, Anwar menafikan bahawa dia pernah mengeluarkan arahan untuk menurunkan salib di sekolah-sekolah Kristian.

Katanya pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan itu, tetapi mungkin tindakan itu dilakukan oleh pegawai-pegawai bawahan yang begitu bersemangat.

Anwar berkata sepatutnya balu kepada S Moorthy (pendaki gunung), perlu dibenarkan untuk mengurus dan mengebumikan suaminya tanpa perlu mengikut hukum Islam kerana balunya itu yang telah menjaga suaminya.

Katanya Mahkamah Syariah tidak campur tangan terhadap masyarakat bukan Islam.

Negara Liberal

Hasrat untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah Negara Liberal sebenarnya disebut Anwar pada 25 Mac 2007, ketika diwawancara ABC (Australian Broadcasting Channel).

“Adakah anda menyokong sebuah Negara Sekular, kepelbagaian agama dan demokratik di Malaysia,?” soal wartawan ABC.

Anwar menjawab, “Pendirian parti kami dan pendirian peribadi saya sangat jelas, kami komited untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang liberal dan demokratik.”

Walaupun Anwar cuba mengelak daripada memakai istilah Negara Sekular, namun ciri-ciri Negara Liberal dan Demokratik yang dihuraikannya adalah negara sama yang diimpikan DAP, sepertimana yang pernah disebut oleh Lim Kit Siang.

Wartawan ABC berpendapat, walaupun cuba mengelak menggunakan istilah Negara Sekular, namun perdebatan hanya di antara dua istilah sahaja iaitu Negara Sekular atau Negara Islam, lalu wartawan itu meminta kejujuran Anwar menyatakan pendiriannya di pihak manakah Anwar sokong.

“Orang bertanya saya, ‘Anwar kenapa anda tidak menyokong konsep Negara Islam dan adakah anda menyokong Negara Sekular’,?”

“Biar saya jelaskan apa yang saya mahu. Negara Demokratik yang Liberal, kebebasan bersuara, kebebasan beragama, sistem kehakiman yang bebas adakah ini sesuai. Saya jawab ya..ya..,”kata Anwar.

Wartawan mencelah, “bagaimana pula dengan kebebasan beragama ?”

“Ya. Kebebasan beragama. Yang saya maksudkan kebebasan mengamalkan kepercayaan, mempercayai apa sahaja.

“Kita sangat komited terhadap perkara itu. Sebab itu, kita menetapkan perkara ini secara jelas, iaitu isu tentang kepercayaan peribadi atau kepercayaan beragama hendaklah diputus oleh setiap individu bukan oleh negara atau penguatkuasa undang-undang,”tegas Anwar

Leave a comment

Filed under Anwar & Islam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s