Berakhirkah Episod tawaran Anwar Ibrahim jadi PM?

Oleh: AIDC

Sebaik sahaja Pakatan Rakyat (PR) menang besar dalam PRU 12, 8 Mac 2008, Anwar mendakwa dirinya ‘ketua’ PR nampak begitu ghairah memberitahu para penyokongnya dan media Barat bahawa beliau akan mengambil alih kerajaan dan menjadi PM dalam masa terdekat.

Keghairahan beliau ini nampak semakin jelas, apabila beliau mencanang pertukaran kerajaan dalam masa terdekat kepada para penyokongnya di Padang Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur pada 14 April 2008.

Sesetengah pihak dalam PR sendiri ‘kurang senang’ dengan kenyataan Anwar yang disifatkan terlalu angkuh dan bersifat terburu-buru tanpa terlebih dahulu merujuk dengan parti-parti kompenan PR.

Kenyataan kurang senang rakan PR ini disiarkan dalam harakahdaily pada 24 Mac 2008 yang menulis pendapat bertajuk ” Anwar Jangan Gelojoh”, ditulis menggunakan nama samaran ‘Maulana Purnama’. Walaupun ditulis sebagai ruangan pendapat dan menggunakan nama samaran, tetapi kesediaan Harakahdaily, organ PAS menyiarkan artikel itu, sudah jelas mesej tersiratnya.

Tulis Maulana Purnama, “Cakap-cakap untuk menubuhkan kerajaan persekutuan BR dalam penggal ini, tanpa melalui pilihan raya umum adalah membimbangkan..Tetapi ahli politik tidak wajar gelojoh. Tunggulah pilihan raya akan datang. Yang membawa reformasi pada masa akan datang tidak semestinya beliau. Tetapi beliau telah membuka ruang.”

Penulis ini menyuarakan rasa tidak senang dengan usaha mengambil alih kerajaan tanpa saluran demokratik, sedangkan Anwar sering mendakwa dirinya pejuang demokrasi. Penulis minta Anwar bersabar dan tunggu PRU akan datang. Jika dalam PRU akan datang Anwar sudah tidak relevan lagi jadi PM, berdasarkan faktor umur, penulis menasihatkan Anwar menerima hakikat itu, kerana perjuangan yang sebenar bukan untuk kepentingan diri sendiri. Tidak semestinya Anwar, sesiapapun dari PR boleh jadi PM, tegas penulis itu.

Seterusnya penulis membuat kesimpulan kenapakah Anwar tidak layak menjadi PM 10 tahun dahulu. Tulisnya “Anwar hampir sampai ke puncak dalam Umno tetapi gagal kerana salah perhitungan yang berakibatkan keadaan yang dahsyat. Bukan saja beliau rugi tetapi juga rakyat dan negara.Maka ketika berada di puncak sebagai pemimpin de facto bukan saja KeADILan tetapi juga Barisan Rakyat, Anwar mesti berhati-hati dan jangan gelojoh. Banyak pelajaran telah diperoleh daripada apa yang berlaku sejak dua dekad lalu. Janganlah mengulangi kesilapan lalu

Berdasarkan kesimpulan ini, penulis merumuskan bukan sekarang sepatutnya Anwar jadi PM, tetapi sepatutnya 10 tahun lalu, tetapi kenapakah 10 tahun lalu Anwar juga gagal menjadi PM ? Apakah penulis ingin menyebut bahawa kegagalan Anwar jadi PM, 16 September lalu, kerana Anwar tidak pernah belajar dari kesilapannya yang lalu. Masih terbawa sifat lama iaitu gelojoh, tidak sabar, tidak bijaksana, bermain kata-kata yang memusnahkan diri sendiri dan terlalu merasakan dirinya paling hebat, hingga bertindak sendirian tanpa mengambil kira perasaan ahli-ahlli PR.

Membaca artikel penuh, Maulana Purnama klik di sini

Serentak dengan suara Harakahdaily itu, seorang kolumnis popular Tranungkite menggunakan nama pena Ibrahim Baba (IB) pula berusaha menongkah arus dengan menyeru Anwar mengambil alih pertukaran kerajaan sekarang, kalau bukan sekarang penulis menyeru Anwar melupakan sahaja cita-citanya untuk selama-lamanya.

Tulisan IB bertajuk ” Now or Never Bagi Anwar Ibrahim” ditulis bulan April menyeru Anwar melakukan sesuatu mulai daripada sekarang. Sekarang adalah masa terbaik untuk mengambil alih kerajaan, jika tidak berlaku sekarang, Anwar kena melupakan cita-citanya buat selama-lamanya.

Maksud penulis, Anwar perlu lakukan apa sahaja (termasuk beli ahli parlimen BN ?) untuk mencapai cita-cita itu. Dan Anwar telah berusaha dengan satu perjanjian 16 September, tetapi sehingga ke tarikh itu sampai sekarang Anwar masih gagal mencapai apa yang dijanjikan. Apakah ini bermakna tulisan IB benar, selepas gagal 16 September, Anwar perlu melupakan cita-cita untuk menjadi PM buat selama-lamanya.

Gagal 16 September, gagal selama-lamanya ?

Kenapa IB memilih untuk memberi dua pilihan kepada Anwar: Now or Never ? . Kenapa tidak beri kelonggaran seperti ‘penulis tamu’, Harakahdaily,Maulana Purnama yang menulis Anwar : Jangan gelojoh atau beri peluang kepada orang lain ? .

Jadi kalau mengambil kira teori IB, Anwar telah gagal menjadi PM 16 September lalu, bermakna sudah tiada peluang ketiga lagi buat Anwar. Adakah maksud penulis begitu ?

Kalau mengambil kira tulisan Maulana Purnama, sebab kegagalan Anwar dalam merealisasikan 16 September amat mudah iaitu bertitik tolak kepada sikap Anwar sendiri yang tidak mempelajari apa yang telah berlaku 10 tahun lampau. Jadi apakah ini bermakna, Anwar sudah tidak relevan, dan tidak semestinya Anwar sahaja yang layak menjai PM, beri peluang kepada orang lain pula ?

PAS merestui sepenuh hati Anwar jadi PM, 16 September ?

Satu persoalan yang menarik yang perlu diteliti lanjut. Mengambil kira cetusan pendapat Maulana Purnama yang dinukilkan dalam Harakahdaily, sudah pun boleh menjawab pendirian PAS tentang hasratnya menjadi PM.

Dari sudut pandangan Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang sendiri apabila diajukan mengenai pencalonannya menjadi PM, 16 September, beliau berkata, ” Saya tidak akan jadi ahli politik (PM) Mat Jenin..”

Mengulas lanjut, apakah yang dimaksudkan dengan “Mat Jenin” itu, Haji Abdul Hadi berkata, ” Mat Jenin panjat pokok kelapa, belum mencapai buahnya, tetapi sudah bercita-cita menjadi raja” dan akhirnya kerana khayalan Mat Jenin itu, dia akhirnya jatuh ke tanah tanpa kesampaian hajatnya.

Meneliti lanjut kronologi rentetan peristiwa tawaran Anwar menjadi PM bermula Mac – 16 September (seperti yang dilampirkan di bawah), juga semakin jelas pendirian PAS.

Pendirian Naib Presiden PAS Mohamad Sabu, kata buat masa ini, PAS belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung usaha penasihat PKR itu membentuk kerajaan persekutuan, yang dijangka akan berlaku menjelang 16 September ini. “Kita tunggu dulu. Sekarang pun khabar angin. Khabar angin, (PAS) hendak mesyuarat macam mana?” katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini pada 4 September 2008 lalu. Klik di sini

Mohamad Sabu berkata dalam wawancara itu, dia tidak berminat melakukan kerja-kerja itu (membeli calon-calon BN?), orang lain, terpulanglah kepada mereka, tetapi pendiriannya jelas, dia tidak berminat dan dia lebih berminat memperkasakan lima negeri yang telah diperintah oleh PR. Tunjuk prestasi terbaik kepada rakyat di kelima-lima negeri yang diperintah oleh PR dan tunggu PRU ke 13, katanya lagi.

Ketika ditanya lanjut mengapa dia tidak berminat dengan projek 16 September, Mohamad Sabu menjawab secara sinis. “buat masa sekarang..kualiti dalam gerakan Islam (PAS ?) masih tidak dapat mengatasi “peradaban barat” (Amerika Syarikat ?) . “Peradaban Barat” masih mendahului dan gerakan Islam masih ketinggalan..dan kalau berlaku juga 16 September, kita (PAS ?) akan ambil alih BN secara total..bukan berjaya ambil alih tetapi masih mengekalkan penyakit-penyakit lama..korupsi, nepotisme, kronisme..saya merasakan sekarang ‘peradaban Islam diambil alih oleh orang lain (siapa?)..seperti di Indonesia, walaupun berjaya mengambil alih kerajaan dan agenda ‘korupsi’ menjadi agenda utama, tetapi selepas reformasi berjaya mengambilalih kerajaan..agenda korupsi masih gagal hingga kini.. “

Masih menjadi tanda tanya hingga sekarang, apa kaitan “Peradaban Barat” dengan topik perbincangan pertukaran kerajaan 16 September. Apakah yang cuba disampaikan oleh Naib Presiden PAS itu ?. Kenapa pula Naib Presiden PAS mengaitkan kegagalan reformasi 1998 di Indonesia yang gagal mentadbir negara walaupun berjaya mengambil alih kerajaan? Apa pula kaitan ‘reformasi’ di Indonesia mempunyai kaitan dengan Malaysia? Dan apakah pula, ‘peradaban barat’ juga mempunyai perkaitan dengan senerio politik Malaysia khususnya dalam rancangan pertukaran kerajaan, 16 September ?

Sesungguhnya banyak teka teki di sebalik kata-kata Naib Presiden PAS itu yang dilihat menggunakan kata-kata kiasan yang penuh dengan simbolik, tidak mahu berterus terang untuk menjaga hati rakan-rakan PR.

Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Mustafa Ali pula, seolah-olah menongkah arus, beliau berkata hasrat Anwar menjadi PM dan menukar kerajaan pada 16 September hanya sekadar mimpi dan tidak menjadi kenyataan. “Saya tidak yakin 16 September kerajaan BN dan Pak Lah akan jatuh,” begitulah tegasnya berkali-kali dalam forum khas “16 September” anjuran sebuah tv PAS di Kuala Lumpur pada 8 September 2008 Klik di sini dan di sini

Menariknya, “talk show khas”, Pengarah Pilihanraya Pusat PAS itu dikendalikan oleh tiga instrumen penting PAS iaitu TV PAS, Harakah dan Siasah. Dibuat pula pada 8 September, bersempena 8 hari lagi ‘menyambut 16 September’ ?

Sesetengah pihak menganggap usaha penganjuran program itu sebagai ‘program sabotaj’ projek 16 September, kerana selain TV PAS menyiarkan rakaman penuh sebab-sebab ketidakberjayaan 16 September, Harakah (akhbar tabloid PAS) juga menyiarkan di muka depan bertajuk “16 September gagal ?” yang boleh dibaca oleh setiap ahli akar umbi PAS.

Ustaz Nik Abdul Aziz, Musyidul Am PAS pula begitu marah dengan rancangan talk show, Pengarah Pilihanraya PAS itu, terutamanya penggunaan akhbar tabloid Harakah yang mempublisiti kegagalan projek 16 September kepada akar umbi.

Sesetengah pihak berpendapat tiada untungnya promosi Projek 16 September, kecuali menyebabkan PAS berpecah kepada dua kem, pihak yang bersetuju dan pihak pihak yang menentang projek 16 September.

Pandangan blogger projek 16 September ?

Sekurang-dua tiga blogger yang tidak berparti begitu marah dengan projek 16 September itu. Faisal Tehrani menyuarakan rasa hatinya dalam artikel bertajuk “Menjelang Hari Fitrah Mendatang, Hentikanlah Perang Propaganda Ini”. Tulis Faisal, “Dan kerimasan serta ketidakselesaan kita tidak dibantu oleh ahli politik yang telah kita pilih dalam pilihanraya Mac lalu. Kedua-dua belah pihak (mungkin lebih dari dua) terheret dalam perang propaganda yang menjejaskan tumpuan kerja kita, rakyat. Propaganda yang ‘berkesiuran di langit politik’ ini amat amat amat menjejaskan emosi, fokus, daya kerja dan mood rakyat biasa. Penat menunggu 16 September, dihadapkan pula penunggu baharu 9 Oktober..Menjelang kemunculan hari fitrah tidak lama lagi; sebagai seniman tidak berpihak, kita merayu – Hentikanlah perang propaganda ini.” Klik di sini

Blogger, Ahmad Hadeed, dari blog Al Muslimin pula menulis, “Saya nasihat kepada Anwar , udah lah brother, tunggulah pru 13.Brother anwar boleh tanding parliament , kita letak poster brother besar besar atas poster DAP PAS dan PKR dan juga di dinding dan di jalan raya dan di tong sampah, jika brother bernasib baik , brother boleh jadi PM dengan secara ethical dan terhormat. Yang tak habis habis nak mengorat MP orang selepas 6 bulan PRU ini apa hal?…Kalau kamu meletakkan rakyat sebagai alasan kamu menjadi ‘taufan menggila ini’ maka percayalah rakyat tidak pernah memberi mandat kepada kamu untuk meneruskan teka teki ini berlarutan sehingga menjejaskan keamanan rakyat…PRU 12 adalah mandat rakyat memilih kerajaan yang di fikir terbaik dan the people has spoken well. It is time for you to respect the pru12 mandate and stop being too greedy…Rakyat tak pernah menyuruh kamu meruntuhkan the government of the day secara begini” Klik di sini

Al Muslimin adalah NGO Islam yang Membela Ummah dan Mustadafeen. Laman Web Al Muslimin dibina sebagai portal berita dan komunikasi untuk membincangkan isu berkaitan ummah. Matlamatnya untuk penyatuan ummah dan menegakkan kebenaran Islam.

Seorang lagi blogger bernama Cekka menulis artikel bertajuk “Anwar tiada hati-perut ! Kami pun nak beraya..”. Tulisnya, “Mengikut kata Tian Chua.. 23 Sept tak jadi sebab Pak Lah memberi pelbagai alasan untuk tidak berjumpa dengan Pakatan Rakyat. Oleh itu, tarikh peralihan kerajaan akan dianjakkan kepada satu tarikh baru.. 1 Oktober..Err.. bukankah hari tu Hari Raya Aidilfitri? Takkan lah parlimen hendak bersidang pada Hari Raya..Pada pendapat saya.. Anwar ini memang kaki kelentong, DEMI KUASA BUKAN UNTUK RAKYAT. Sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.. adalah tidak patut sebagai seorang pemimpin untuk merentap keceriaan umat Islam pada hari tersebut dengan janji-janji politiknya.. lainlah kalau ‘target audience’ beliau orang bukan Islam.. Hari Raya Aidilfitri bukannya perayaan besar bagi mereka” Klik di sini

16 September projek siapa ?

Seolah-olah Projek 16 September, yang dicanang Anwar, tidak dibincang secara terperinci dalam mesyuarat PR. Banyak timbul salah faham, terutama di kalangan rakan kompenan sendiri terutamanya dari PAS.

Persoalannya jika projek yang begitu besar, untuk menumbangkan kerajaan, Anwar tidak bincang dengan rakan-rakan kompenan PR, adakah ini bermaksud Projek 16 September adalah idea Anwar seorang ?

Kalau hanya projek Anwar, mampukah Anwar menumbangkan kerajaan dan beliau seorang menjadi PM tanpa mengharapkan bantuan daripada rakan-rakan PR ?

Ada sesetengah pihak, berpandangan Projek 16 September hanya ‘acah-acah Anwar’, tetapi acahan yang berlebihan hingga memakan diri.

Namun, kalau sekadar ‘acahan’, kenapa pula media asing berminat menyorot Projek 16 September, sedangkan sebelum ini media asing yang dikawal oleh Amerika amat berhati-hati memilih berita yang benar-benar tepat.

Apatah lagi cara Anwar melaung slogan 16 September dengan penuh yakin, kepada para penyokong, media tempatan dan luar negara, tidak menunjukkan sedikit pun riak Anwar berbohong. Beliau begitu yakin dengan ramalannya adalah benar. Seumpama ahli nujum, Anwar nampak begitu yakin dan tidak pernah dimulakan dengan perkataan “Insya Allah”.

Anwar juga begitu yakin kejayaan Projek 16 September apabila bercakap dengan Jim Middleston (News Hours Australia) pada 22 April 2008. Begitu juga apabila bercakap dengan Al-Jazeera (101 East) pada 28 Ogos 2008,Anwar menyatakan keyakinan bahawa pada 16 September pasti akan berlaku peralihan kuasa kerana beliau mempunyai majoriti yang mencukupi.

Tetapi apabila Anwar gagal mengotakan janji membentuk kerajaan pada 16 September, sebulan kemudian, beliau dipanggil berwawancara dengan Bloomberg khusus mengenai post mortem sebab-sebab kegagalannya.

Bloomberg adalah sebuah syarikat media tersohor di Amerika yang dimiliki oleh seorang Yahudi bernama Michael Bloomberg. Beliau juga merupakan Datuk Bandar New York yang pernah bekerja dengan syarikat Yahudi paling kaya di Amerika iaitu Salomon Brothers.

Bloomberg diperluaskan di peringkat antarabangsa, termasuk pejabat-pejabat di Eropah, Asia, Amerika Latin dan Australia. Pada tahun 1990 Bloomberg melancarkan bahagian perkhidmatan berita. Berita Bloomberg (pada mulanya dikenali sebagai Bloomberg Business News) mempunyai kakitangan seramai 2,000 dan menyediakan maklumat kepada kira-kira 350 buah akhbar dan majalah-majalah seluruh dunia, termasuk Economist The, The New York Times dan USA Today.

Dalam wawancara Anwar dengan Bloomberg pada 28 Oktober 2008 itu, Anwar telah menjelaskan sebab-sebab secara panjang lebar sebab kegagalannya menubuhkan kerajaan pada 16 September. Kadang kala jawapan Anwar berulang-ulang dengan hujah yang sama dan seperti tidak masuk akal.

Anwar juga mengambil kesempatan menjelaskan desakan “kawan-kawan dari luar negara” melalui wartawan Bloomberg itu.

Anwar sendiri mengakui, “kawan-kawannya di luar negara” telah bertanyakan kepadanya ‘kenapakah Anwar harus menulis surat kepada PM, sedangkan beliau dakwa telah mempunyai bilangan ahli parlimen yang cukup untuk menumbangkan kerajaan?’

Anwar menjawab sistem di Malaysia tidak sama dengan negara lain (termasuk Amerika Syarikat), melibatkan kuasa PM untuk memanggil sidang parlimen tergempar dan peralihan kuasa. Kesimpulannya seperti kata Anwar, proses perpindahan kuasa melibatkan banyak prosedur yang perlu dikuti dan bukanlah sesenang yang disangkakan.

Ketika di akhir interbiu itu, sekali lagi wartawan Bloomberg bertanya, sebelum dia melepaskan Anwar, dia ingin meminta komitmen dengan Anwar, bilakah pula tarikh baru yang Anwar boleh janjikan untuk membentuk kerajaan baru ?

Inilah kali pertama Anwar menggunakan perkataan awal “Insya Allah”, sebelum menjawab soalan berkenaan tarikh baru itu.

Kata Anwar, “Saya akan..Insya Allah..saya akan buktikan kepada mereka (kawan-kawannya di luar negara), saya ada bilangan yang mencukupi..dan negara ini perlu kepada perubahan..”

AIDC
16 November 2008

Kronologi tawaran Anwar menjadi PM

14 April 2008, Ceramah Anwar di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur : Anwar berkata keyakinannya untuk memasuki Putrajaya dalam masa terdekat. Beliau berkata di hadapan penyokongnya, angka rasmi Pakatan Rakyat adalah 82. Itu angka rasmi katanya. Katanya masih ramai angka tidak rasmi daripada BN yang sanggup melompat parti khususnya di Sabah dan Sarawak. Beri masa kepadanya, kalau tidak minggu ini, minggu depan, kalau tidak April, Mei atau Julai, katanya.

22 April 2008, temuramah Anwar dengan Jim Middleston (News Hours Australia). Beliau sekali lagi ditanya oleh media itu tentang pertukaran kerajaan. Anwar dengan penuh yakin berkata pasti akan berlaku kerana semakin ramai ahli parlimen BN yang semakin yakin dengan PR. Beliau sedang dalam proses rundingan, katanya.

23 April 2008, Anwar dakwa beberapa ahli parlimen Barisan Nasional di Sabah telah membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat dan sedang menunggu masa sesuai, selewat-lewatnya pertengahan September, kata penasihat PKR, kepada pemberita di Kota Kinabalu dalam lawatan ke negeri itu, hari ini. Klik di sini

8 Jun 2008, Anwar berkata bilangan sudah mencukupi dan peralihan kuasa untuk menubuhkan kerajaan baru mengikut sepertimana yang dijadualkan, katanya dalam sidang media Anwar di Pejabat PKR di Petaling Jaya.

30 Jun 2008, kenyataan Anwar di luar Kedutaaan Turki. Beliau berkata laporan polis oleh bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan adalah usaha terdesak kerajaan untuk menghalangnya mengambil alih kerajaan. Dakwanya semua ini konspirasi politik hingga beliau terpaksa berlindung di kedutaan asing. Katanya lagi, jika tidak serangan begini (laporan polis bekas pembantunya), minggu ini (Jun) beliau akan isytiharkan seramai 4 org ahli BN akan menyertai PKR.

28 Ogos 2008 Temuramah Anwar dengan Al-Jazeera (101 East) Anwar yakin bahawa pada 16 September pasti akan berlaku peralihan kuasa kerana beliau mempunyai majoriti yang mencukupi. Beliau tidak boleh mendedahkan nama buat masa sekarang dengan alasan keselamatan.

31 Ogos 2008, Anwar dakwa beliau mempunyai agenda ketat mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bagi membincangkan soal menyertai Pakatan Rakyat. Beliau dakwa telah mengadakan pertemuan dengan enam wakil rakyat BN dari Sarawak di ibu negara – beberapa jam selepas mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat. Klik di sini

4 September 2008, Mohamad Sabu, Naib presiden PAS, parti PAS belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung usaha penasihat PKR itu membentuk kerajaan persekutuan, yang dijangka akan berlaku menjelang 16 September ini. “Kita tunggu dulu. Sekarang pun khabar angin. Khabar angin, (PAS) hendak mesyuarat macam mana?” katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini. Klik di sini

7 September 2008, Portal Indonesia, Kompas.com, menyiarkan kenyataan Anwar beliau akan menjadi PM pada 16 September dan akan menggulingkan PM Abdullah. Katanya “Saya tetap pada target saya, 16 September menjadi waktu untuk mengistirahatkan Badawi. Untuk itu, saya rileks sebentar sehari lompat ke Jakarta, berdiskusi dan bertemu dengan sahabat-sahabat saya di Indonesia,” kata Anwar mengawali pidatonya dalam silaturahmi dengan ICMI di Menara Bank Mega, Jakarta, Sabtu (6/9)”. Klik di sini

8 September 2008 Anwar mengesahkan kepada wartawan di Kuala Lumpur bahawa seramai 32 Ahli Parlimen BN sudah bersetuju menyertai Pakatan Rakyat,
Kata Anwar, “Kita membincangkan perkembangan yang berlaku… kami memfokus mengenainya (sasaran 16 September)…kami berbincang dengan PAS dan DAP tadi,” Klik di sini

8 September 2008, Mustafa Ali, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat tidak yakin mimpi Anwar menjadi kenyataan pada 16 September ini. “Saya tidak yakin 16 September kerajaan BN dan Pak Lah akan jatuh,” begitulah tegasnya berkali-kali dalam forum khas “16 September” anjuran sebuah tv PAS di Kuala Lumpur. Klik di sini dan di sini

11 September 2008, perbalahan dalaman PAS antara Ustaz Nik Abd Aziz dengan Mustafa Ali mengenai isu 16 September. Klik di sini

12 September 2008, Tian Chua, Ketua Penerangan PKR dan 5 wakil PKR dihantar ke Taiwan untuk memujuk ahli BN dari Sabah dan Sarawak untuk melompat parti masuk PKR. Tian Chua kata beliau amat yakin peralihan kuasa akan tetap berlaku pada 16 September.

13 September 2008, Anwar berkata, beliau sedang membuat temujanji untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri secepat mungkin bagi membincangkan tentang penahanan ISA dan masa depan politik Malaysia, dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR.Klik di sini

15 September 2008, Anwar kata bahawa beliau telah hantar surat kepada Perdana Menteri. Menurut Anwar, kandungan surat tersebut menyatakan Pakatan Rakyat akan menubuhkan kerajaan baru. Beliau berkata kepada para penyokongnya dalam ceramah di Stadium Kelana Jaya, Selangor.

16 September 2008 Anwar ditanya mengenai pertukaran kerajaan oleh wartawan dalam sidang akhbar di Pejabat PKR, Petaling Jaya. Anwar kata bilangan ahli parlimen yang akan melompat parti sudah melebihi 31. Anwar ditertawakan oleh para wartawan kerana sehingga ke hari kejadian, Anwar gagal membuktikan kata-katanya benar.

18 September 2008, Anwar ditanya oleh para penyokongnya bilakah akan ambil alih kerajaan, di sidang media di pejabat PKR PJ. Wakil yang bertanya adalah Haris Ibrahim dari Bar Council. Anwar menjelaskan bilangan sudah mencukupi dan beliau telah mendesak kerajaan untuk memanggil persidangan parlimen tergempar pada 23 September bagi membolehkan beliau membuat undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri dan mengambilalih kerajaan.

23 September 2008 – permintaan beliau mengadakan sidang tergempar ditolak oleh PM, pada tarikh itu parlimen tidak bersidang kerana bulan puasa. Lagipun kata PM parlimen bakal bersidang tidak lama lagi iaitu pada 13 Oktober.

23 September 2008, Tian Chua, Ketua Penerangan PKR membuat kenyataan media mengatakan peralihan kerajaan akan berlaku pada 1 Oktober (pada hari raya Aidil Fitri). Klik di sini

25 September 2008, Anwar menegur Tian Chua dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PKR di Pejabat PKR, PJ.Tian Chua turut ditegur oleh Anwar kerana memberikan kenyataan kepada media tanpa merujuk kepimpinan parti terlebih dahulu.

1 Oktober 2008, tiada sebarang pertukaran kerajaan dan umat Islam menyambut hari raya Aidil Fitri dengan kegembiraan.

8 Oktober 2008, Anwar dakwa telah mengadakan mesyuarat dengan Majlis Tertinggi PKR di rumahnya Bukit Segambut bagi membincangkan strategi-strategi baru bagi merealisasikan usaha membentuk kerajaan baru persekutuan.

10 Oktober 2008, Anwar berkata tarikh baru bentuk kerajaan sebelum hari raya Aidil Adha. Beliau berkata semasa berceramah di Padang Majlis Perbandaran Kota Baharu, Kelantan.

13 Oktober 2008 – Parlimen Sidang parlimen bermula – Tiada sebarang undi tidak percaya dibuat oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim di parlimen. Ketika ditanya oleh para wartawan, kenapa tiada usul undi tidak percaya ke atas PM, sedangkan beliau juga yang menggesa agar diadakan sidang parlimen khas pada 23 September lalu. Anwar menjawab, sekarang bukan masanya, sekarang masanya beliau menumpukan kepada perbahasan bajet 2009.

21 Oktober 2008, Nurul Izzah buat kenyataan peralihan kerajaan akan berlaku sebelum pilihan raya umum ke-13 iaitu pada tahun 2012. Kenyataan dibuat dalam sidang media di rumah ayahnya (Anwar) di Bukit Segambut. Klik di sini

24 Oktober 2008, Anwar berkata beliau tidak akan meramalkan tarikh baru peralihan kerajaan dalam sidang media di bangunan parlimen.”Cukuplah mengenai perkara itu, kita akan fokuskan kepada pembangunan ekonomi,” katanya dalam sidang media selepas taklimat mengenai Bajet Pakatan Rakyat 2009. Klik di sini

28 Oktober 2008, Anwar menjelaskan sebab-sebab kegagalannya menubuhkan kerajaan pada 16 September kepada wartawan Bloomberg. Anwar dakwa ‘sahabat-sahabat’nya di luar negara bertanyakah, kalau sudah mempunyai bilangan ahli parlimen mencukupi, kenapa perlu berunding lagi dengn PM. Anwar menjawab, keadaan di Malaysia berbeza, banyak prosedur yang perlu dipatuhi, beliau berjanji akan membuktikan kepada ‘sahabat-sahabat’ di luar negara, bahawa beliau akan berusaha untuk menukar kerajaan dalam masa terdekat, tetapi tidak menamakan tarikh spesifiknya.

2 Comments

Filed under Anwar & Cita - cita

2 responses to “Berakhirkah Episod tawaran Anwar Ibrahim jadi PM?

  1. tukang tilik

    anwar ni bak kata arwah tun ghafar baba adalah bangkai bernyawa, tapi yang pelik si PAS bahlul tak bolih bau ke bangkai manusia bernama anwarpukimak ni

  2. Norman

    Anwar sebenarnya dah lupa pada qadha dan qadar Ilahi. Kalau memang tak de dalam qadha dan qadar Allah dia akan jadi PM M’sia, apa pun usaha dia dan kroni-kroninya, penyokongnya dari kumpulan Zionis, Iluminiti dan CIA dsbnya lagi dia akan terus gigit jari. Insaflah Anwar, dlm usia setua sekarang betulkanlah soal iman dan ibadat, dunia ni hanya sementara akhirat juga yg kekal buat selama-lamanya….. dan kalau dah memang direzekikan oleh Allah s.w.t. utk jadi PM, tak perlu susah-susah lagi, jawatan akan jatuh ke ribanya juga. Tetapi yg peting, nak jadi pemimpin itu perlu jujur luar dan dalam, zahir dan batin…..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s